Home / Sejarah Masakan / Sejarah Nasi Lemak
3 Juni, 2016

Sejarah Nasi Lemak

Posted in : Sejarah Masakan on by : makan makan

Asal usul kewujudan Sejarah Nasi Lemak di Malaysia telah diketahui oleh orang ramai. Nasi Lemak merupakan makanan tradisional Melayu yang berasal dari Semenanjung Malaysia sejak zaman dahulu. Sehingga zaman terkini, Nasi Lemak telah menjadi makanan yang sangat popular dan dijadikan makanan ruji hajian tanpa mengira pagi, petang ataupun malam. Nama Nasi Lemak mendapat gelaran daripada cara penggunaan santan untuk memasak nasi. Santan khususnya merupakan bahan masakan yang sering digunakan oleh masyarakat melayu tradisional. Oleh itu, Sejarah Nasi Lemak dikaitkan dengan penggunaan santan dalam nasi yang membuatkan rasa nasi itu berlemak.

Asal usul Sejarah Nasi Lemak adalah berasal dari tanah semenanjung Malaysia. Nasi Lemak juga menjadi makanan popular di Semenanjung Melayu dan pantai timur Sumatera. Pada era kesultanan Melaka, ada sepasang ibu dan anak bernama Mak Kuntum dan Seri. Suami Mak Kuntum telah lama terkorban dalam pertempuran menentang musuh di selat melaka. Oleh sedemikian, Mak Kuntum terpaksa bekerja mengambil upah mengurut untuk menyara kehidupan sendiri dan anaknya. Mak Kuntum sentiasa keluar pada setiap awal pagi untuk mencari pelanggan. Seri terpaksa tinggal seorang diri di rumah untuk menjalankan kerja rumah seperti memasak, mengemaskan rumah dan sebagainya.

Pada suatu hari, Seri sudah timbul rasa jemu dengan nasi dan lauk-pauk kerana masak dengan cara yang sama. Oleh sebab itu, Seri mula memikirkan cara lain untuk memasak nasi supaya terdapat kelainan pada rasa nasi. Mula-mula Seri memasukkan sedikit lengkuas ke dalam nasi yang sedang dimasak. Selepas itu, Seri mencampurkan sehelai daun pandan untuk menyerikan lagi nasi tersebut supaya dapat membangkitkan seleranya dan ibunya.

Pada waktu tengah hari, semasa Mak Kuntum pulang ke rumah, Seri menghidangkan nasi ciptaannya itu kepada ibunya. Mak Kuntum berasa terperanjat melihatkan nasi yang tidak pernah dilihat sepanjang hayatnya. “Apa kau masak ni, Seri?” Jawapan Seri : “Nasi le! Mak!” Seri jawab dengan berulang kali. Mak Kuntum bertanyakan lagi kepada Seri. Seri menjawap dengan jawapan yang sama : “Nasi le mak!”, “Nasi le mak!”, “Nasi le mak!”. Semenjak hari itu, nasi tersebut dikenali sebagai Nasi Lemak.

Nasi Lemak adalah sesuatu makanan yang dilipatkan dengan daun pisang dalam bentuk segitiga dan merupakan makanan Melayu kegemaran bagi orang Malaysia, Indonesia dan Singapura, terutama sebagai sarapan pada waktu pagi dan minum petang. Nasi Lemak dapat ditemui di semua bahagian Malaysia dan juga Singapura. Di Indonesia, Nasi Lemak lazim ditemukan di pesisir timur Sumatera, terutama di Riau, Jambi dan Sumatera Utara. Nasi Lemak merujuk kepada nasi yang dimasak dengan menggunakan santan kelapa untuk menambah rasa lemaknya yang lazat. Kadangkala daun pandan dimasukkan semasa Nasi Lemak dimasak bagi menambahkan aromanya.

Selain daripada itu, Nasi Lemak biasanya dihidangkan dengan telur, timun, ikan bilis goreng ,kacang goreng dan sambal. Tetapi pada masa kini, Nasi Lemak dijual dengan pelbagai lauk yang termasuk tetapi tidak terhad kepada daging, ayam, sotong, udang, limpa, dan hati (lembu). Kaum Cina tempatan juga ada ramai yang suka memasak Nasi Lemak dengan lauk khinzir.

Nasi Lemak lazimnya terkenal dan disebut demikian di Semenanjung Melayu dan pantai timur Sumatera. Sementara di Jakarta, hidangan yang mirip Nasi Lemak dikenali dengan nama nasi uduk, sedangkan di Jawa Tengah dengan nama sega liwet atau nasi liwet. Manakala di Aceh, hidangan yang mirip Nasi Lemak disebut nasi gurih. Pada masa sekarang, Nasi Lemak telah diubahsuai dengan dihidangkan pelbagai jenis lauk pauk dan diterima umum untuk menjadikannya sebagai punca pendapatan kepada peniaga.

Pada masa kini, Nasi Lemak bukan sahaja dinikmati pada waktu pagi dan minum petang. Malahan, ramai orang juga suka menikmati Nasi Lemak pada waktu malam atau sebagai jamuan. Oleh sebab itu, Nasi Lemak merupakan satu sajian makanan yang ringkas lalu dijadikan makanan pilihan warga kota yang sentiasa kesibukkan. Harga yang murah juga mendorong makanan terkenal ini semakin mudah didapati di mana-mana kedai atau gerai sahaja. Biasanya harga semasa untuk Nasi Lemak adalah berada di dalam lingkungan Ringgit Malaysia 1 sehingga 6 sebungkus.

Tinggalkan Balasan

Alamat surel Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *