Yayasan Alam Melayu Sriwijaya (MALAYA)
» Jadwal Sholat Kota Palembang dan Sekitarnya
» Profil Yayasan Malaya
» Kegiatan Yayasan Malaya
» Download
--------------------

Keris adalah perlambangan kuasa. Lebih-lebih lagi bagi menggambarkan kehormatan seorang Raja Melayu bersemayam di atas takhta.

Keris misalnya tidak perlu ditayang-tayang bilah dan rupanya kerana melalui sarungnya sahaja, sudah tahu panjang dan diagak rupa bilah atau loknya.

Melihat ukiran maksud pada hulu, dokok, sampir, batang serunai, buntut pada sarung, kehalusan dan jenis kayunya pun sudah menggambarkan peribadi, susuk tubuh dan perlambangan bilah keris di dalamnya secara tidak langsung.

Ia sama seperti tindakan, kelakuan, kegemaran, gaya riak wajah serta bahasa tubuh baginda sekalipun sudah cukup menggambarkan personaliti, karisma dan kewibaan baginda selaku ketua dan pemimpin sudah boleh dilihat melalui tindakannya sahaja.

Gaya baginda menunjukkan keikhlasan dan zuhud beliau selaku raja yang benar benar layak di tempatnya tanpa perlu bertitah menyampaikan segenap kemahuan yang diinginkannya.
Seorang Raja Melayu, baginda tidak perlu bertitah semahu-mahu hatinya demi menjaga kesucian kedudukan beliau di atas takhta tertinggi untuk menaungi rakyatnya.

Keris yang sering diguna, cenderung untuk menjadi tumpul jika tidak diasah, tidak dijaga, tidak diasap dirapi dan dipelihara dengan baik di dalam sarungnya.

Ia menggambarkan bagaimana jika seorang Raja Melayu terlalu banyak bertitah perkara yang kurang manfaat dan mengguris sesiapa yang baginda mahu, bertitah dengan angkuh dan ego, nescaya baginda akan dilihat tidak relevan, cenderung untuk tidak dihormati dan disegani.

Ada sebab kenapa keris begitu sinonim dengan Melayu, lebih lagi kepada Raja raja Melayu. Ia perlambangan kuasa dan kesucian titah baginda yang hanya disuarakan apabila benar benar perlu dan bila betul betul tepat pada masanya.
Keris bukan setakat senjata sampingan atau disisip di pinggang semata-mata. Ia mewakili banyak falsafah dan memiliki banyak perlambangan. Kerana itu wujudnya keris sebagai sebahagian dari alat kebesaran baginda.

Bagi seorang Raja Melayu, ia adalah satu bentuk peringatan kepada baginda tuanku juga. Ia bukan senjata biasa. Keris disisip, dikucup, dijulang penuh makna dan tepat setiap ketika.

Bahkan kebanyakan masa, seorang Raja Melayu jarang sekali menggunakan kerisnya. Keris baginda jika perlu dihunus hanya ketika kedudukan baginda diancam dan kuasanya tidak dipedulikan. Keris hanya diacung apabila keadaan negerinya dan isinya terancam. Kerisnya mencari mangsa pada musuh dan lawan sebenar.

Raja raja Melayu di tanah milik mereka ini tiada seorangpun yang terancam dan goyah kedudukan takhta negeri dan sekalian isi rakyat teramainya terbela cukup di bawah naungannya.
Harap penghormatan rakyat teramai kepada semua Raja raja Melayu yang wujud kini dan masa hadapan akan terus kekal. Memastikan baginda terus kekal utuh bersemayam di takhta, didukung dan dihormati rakyat teramai sampai bila-bila. Supaya baginda kekal mengembangkan payung menaungi segenap isi tanah dan perut rakyatnya dengan ilmu dan iman, penuh zuhud dan tawakkal kepadaNya. InsyaAllah.

Ia sumpah dua hala laksana perjanjian Demang Lebar Daun dan Sri Tri Buana.

Daulat Tuanku.
Daulat Tuanku.
Daulat Tuanku.

“Ducit Amor Patriae”

KAM via The Patriots

• telah dilihat 51 kali • total 1 kunjungan untuk hari ini •
Keris sebagai Perlambang dan Peringatan Kuasa Raja Melayu

Tulisan Terkait

Tag pada:    

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *