Selamat Tahun Baru Hijriyah - 1 Muharrom 1439 H
» Jadwal Sholat Kota Palembang dan Sekitarnya
» Profil Yayasan Malaya
» Kegiatan Yayasan Malaya
---------- Malam Seni dan Budaya Besemah Pagaralam 2017 ----------

A’lam ketahui olehmu, kepada zaman dahulukala, dan pada masa yang telah lalu, kata yang empunya ceritera, bahawa Raja Iskandar, anak Raja Darab, Rom bangsanya, Makaduniah nama negerinya, Zul-Karnain gelarannya; sekali persetua baginda berjalan hendak melihat matahari terbit, maka baginda sampai pada suatu bi’at, negeri Hindi. Maka ada seorang raja di tanah Hindi, terlalu besar kerajaannya, setengah negeri Hindi itu dalam tangannya; namanya Raja Kida Hindi. Setelah ia mendengar Raja Iskandar datang, maka Raja Kida Hindi pun menyuruhkan Perdana Menteri menghimpunkan segala rakyat dan raja-raja yang takluk kepadanya.

Setelah sudah kampung semuanya, maka dikeluarinyalah oleh Raja Kida Hindi akan Raja Iskandar; maka setelah bertemulah segala rakyat antara kedua pihak itu, lalu berperanglah, terlalu ramai seperti yang dalam Hikayat Iskandar itu. Maka kalahlah Raja Kida Hindi itu oleh Raja Iskandar, ditangkap baginda dengan hidupnya Raja Kida Hindi itu; maka disuruhlah oleh Raja Iskandar membawa iman, maka Raja Kida Hindi pun membawa imanlah dan jadi Islam, dalam agama Nabi Ibrahlm Khalilu ‘llah ‘alaihi s-salam. Maka dipersalini oleh Raja Iskandar akan Raja Kida Hindi seperti pakaian dirinya; maka dititihkan oleh Raja Iskandar kembali ke negerinya.

Maka adapun akan Raja Kida Hindi itu ada beranak seorang perempuan, terlalu baik parasnya, tiada berbagai lagi dan tiada taranya masa itu, cahaya mukanya gilang-gemilang seperti cahaya matahari, dan amat bijaksananya dan sempuma budinya; Puteri Syahrul-Bariyah namanya. Maka Raja Kida Hindi pun memanggil Perdana Menteri pada tempat yang sunyi, maka titah Raja Kida Hindi kepada Perdana Menteri, “Ketahui olehmu, bahawa aku memanggil engkau ini, aku hendak bertanyakan bicara kepadamu; bahawa anakku yang tiada ada taranya seorang pun anak raja-raja pada zaman ini, itulah hendak aku persembahkan kepada Raja Iskandar; apa nasihatmu akan daku?” Maka sembah Perdana Menteri, “Sahaja sebenarnyalah pekerjaan yang seperti titah tuan Hamba itu.” Maka sabda Raja Kida Hindi pada Perdana Menteri, “Insya-Allah Taala, esok hari pergilah tuan Hamba kepada Nabi Khidir, katakanlah oleh tuan Hamba segala perihal ini.”

Maka esok harinya, pergilah Perdana Menteri itu kepada Nabi Khidir. Setelah sudah Perdana Menteri itu pergi, maka disuruh Raja Kida Hindi suratkan nama Raja Iskandar atas segala dirHarunya, dan atas segala panji-panjinya. Adapun setelah Menteri itu sampai kepada Nabi Khidir maka ia pun memberi salam, maka disahut oleh Nabi Khidir salam Menteri itu, lalu disuruhnya duduk. Arakian maka berkatalah Perdana Menteri itu kepada Nabi Khidir alaihi ssalam, “Ketahui oleh tuan Hamba, ya nabi Allah, bahawa raja Hamba terlalu amat kasihnya akan Raja Iskandar, tiada dapat Hamba sifatkan; dan ada ia beranak seorang perempuan, tak dapatlah dikatakan, tiada ada bagainya anak raja-raja dalam alam ini dari masyrik lalu ke maghrib pada rupanya dan budi pekertinya, tiada ada taranya pada masa ini. Adalah raja Hamba akan hendak dipersembahkan dia akan isteri Raja Iskandar.”

Kata sahibul-hikayat, maka pada ketika itu juga pergilah Nabi Khidir kepada Raja Iskandar, maka diceriterakannyalah perihal itu. Maka kabullah pada Raja Iskandar. Kemudian daripada itu maka Raja Iskandar pun keluarlah ke penghadapan, dihadap oleh segala raja-raja dan ulama dan pendita dan segala Orang Besar-besar, dan segala pahlawan yang gagah-gagah mengelilingi takhta kerajaan baginda, dan dan belakang baginda segala Hamba yang khas dan segala yang kepercayaannya. Maka adalah pada ketika itu Raja Kida Hindi pun ada mengadap Raja Iskandar, duduk di atas kerusi yang berpermata. Maka ada seketika duduk itu, maka Nabi Khidir alaihis-salam bangkit berdiri serta menyebut nama, Allah subha nahu wa taala, dan mengucap selamat akan Nabi Ibrahim Khalilu ‘llah dan segala nabi yang dahulu-dahulu; syahadan maka membaca khutbah nikah akan Raja Iskandar, dan diisyaratkannya perkataan itu kepada Raja Kida Hindi. Demikian kata Nabi Khidir: “Ketahui olehmu hei Raja Kida Hindi, bahawa raja kami inilah yang diserahkan Allah Taala kerajaan dunia ini kepadanya, dari daksina lalu ke paksina. Adapun sekarang, bahawa tuan Hamba ada beranak perempuan, terlalu baik parasnya; kehendaknya minta daripada tuan Hamba, dan diambil Raja Kida Hindi kiranya akan menantu, supaya berhubunglah segala anak cucu Raja Iskandar, jangan lagi berputusan kiranya hingga hari kiamat. Bagaimana, kabulkah? Atau tiadakah?”

Kata sahibil-hikayat, tatkala didengarlah oleh Raja Kida Hindi kata Nabi Khidir demikian itu, maka ia pun segera turun dari atas kerusi, lalu berdiri di tanah, seraya ia menyembah pada Raja Iskandar, dan berkata ia: “Bahawa ketahui oleh tuanku, ya nabi Allah, dan segala tuan-tuan yang ada hadir; bahawa Hamba ini dengan sesungguhnya Hamba kepada Raja Iskandar, dan anak Hamba sekalian pun Hamba juga ke bawah duli baginda itu, seperti sahaya yang mengerjakan dia seorang, dua orang itu. Ketahui olehmu hei segala tuan-tuan sekalian yang ada ini, bahawa Nabi Khidir akan wali hamba dan wali anak hamba yang bernama Tuan Puteri Syahrul-Bariyah itu.”

Apabila didengar oleh Nabir Khidir kata Raja Kida Hindi demikian itu, maka berpalinglah ia mengadap kepada Raja Iskandar, dan berkata ia kepada Raja Iskandar, “Bahawa sudahlah hamba kahwinkan anak Raja Kida Hindi yang bernama Puteri Syahrul-Bariyah dengan Raja Iskandar. Adapun isi kahwinnya tiga ratus ribu dinar emas, redakah tuan Hamba?” Maka sahut Raja Iskandar, “Redalah Hamba.”

Maka dikahwinkan Nabi Khidirlah anak Raja Kida Hindi dengan Raja Iskandar atas syariat Nabi Ibrahim Khalilu ‘llah, di hadapan segala mereka yang tersebut itu. Maka bangkit berdirilah segala raja-raja dan segala Orang Besar-besar dan para menteri dan hulubalang dan segala pendita dan ulama dan segala hukama menabur akan emas dan perak dan permata ratna mutu manikam kepada kaki Raja Iskandar, hingga tertimbunlah segala emas dan perak dan ratna mutu manikam itu di hadapan Raja Iskandar, seperti busut dua tiga timbunannya. Maka sekalian harta itu disedekahkan pada segala fakir dan miskin.

Setelah hari malam, maka datanglah Raja Kida Hindi membawa anaknya kepada Raja Iskandar dengan barang kuasanya, dengan pelbagai permata yang ditinggalkan oleh datuk neneknya; sekaliannya itu dikenakannya akan pakaian anaknya. Maka pada malam itu naik mempelailah Raja Iskandar. Syahadan. maka hairanlah hati Raja Iskandar melihat rupa Puteri Syahrul-Bariyah itu, tiadalah tersifatkan lagi, dan pada keesokan harinya maka dipersalin Raja Iskandar akan Tuan Puteri Syahrul-Bariyah itu dengan selengkap pakaian kerajaan, tiada terperi lagi banyaknya; dan Raja Iskandar pun menganugerahi pula persalin akan segala raja-raja daripada pakaian yang mulia-mulia, sekaliannya emas bertatahkan ratna mutu manikam, tiga buah perbendaharaan yang terbuka. Maka Raja Kida Hindi pun dianugerahi persalin, dan dianugerahi seratus cembul emas berisi permata, dan ratna mutu manikam dan harta benda yang mulia-mulia, sekaliannya emas bertatahkan ratna mutu manikam, dan dianugerahi seratus ekor kuda yang hadir dengan segala alatnya daripada emas bertatahkan ratna mutu manikam; maka hairanlah hati segala yang memandang dia.

Kemudian dari itu maka berhentilah Raja Iskandar di kenaikan sepuluh hari, setelah datang kepada sebelas harinya, maka berangkatlah Raja Iskandar seperti adat dahulukala, dan tuan puteri anak Raja Kida Hindi pun dibawa baginda; maka baginda pun berjalanlah, lalu ke matahari hidup, seperti yang tersebut dalam hikayatnya yang masyhur itu. Hatta berapa lamanya, telah sudah Raja Iskandar melihat matahari terbit, maka baginda pun kembalilah, lalu dari negeri Kida Hindi. Maka Raja Kida Hindi pun keluarlah mengadap Raja Iskandar dengan segala persembahannya, daripada khatifah yang mulia-mulia, dan daripada harta benda yang ajaib-ajaib. Maka Raja Kida Hindi pun berdatang sembah pada Raja Iskandar akan peri dendamnya dan berahinya akan tapak hadrat Raja Iskandar, tiada dapat kita katakan lagi. Syahadan peri rindu dendamnya akan anaknya Tuan Puteri Syahrul-Bariyah dan dipohonkannyalah anaknya ke bawali duli Raja Iskandar.

Arakian maka dianugerahkan Raja Iskandar akan Tuan Puteri Syahrul-Bariyah kembali pada ayahnya, Raja Kida Hindi; maka dianugerahi Raja Iskandar akan Puteri Syahrul-Bariyah persalinan seratus kali, dan dianugerahi harta dar ipada emas dan perak, dan ratna mutu manikam, dan daripada permata dan harta benda yang indah-indah, tiada terhisabkan banyaknya lagi, Maka Raja Kida Hindi pun menjunjung duli Raja Iskandar, maka dipersalin baginda pula seratus kali daripada pakaian baginda Sendiri. Setelah itu maka dipalu oranglah gendang berangkat dan ditiup oranglah nafiri alamat Raja Iskandar berangkat. Maka baginda pun berangkatlah dari istana, seperti adat dahulukala, kasadnya hendak menaklukkan segala raja-raja yang belum takluk kepadanya, seperti yang termazkur itu. Wallahu a’lamu bis-sawab wa ilaihil-marji’u wal-ma’ab

***Rujukan: Kitab Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, Edisi Pelajar, A. Samad Ahmad

Sulalatus Salatin adalah judul asal Sejarah Melayu. Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) merupakan satu karya sejarah mengenai kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan zaman Kesultanan Melayu Melaka yang ditulis oleh beberapa orang pengarang Melayu. Sejarah Melayu Sulalatus Salatin dianggap penting kerana ia memberikan adat istiadat kerajaan, susunan raja Melayu dan sejarah kerajaan Melayu.

• telah dilihat 263 kali • total 1 kunjungan untuk hari ini •
Penaklukan Iskandar Zul-Karnain dan Perkahwinan Puteri Syahrul-Bariyah

Tulisan Terkait

Tinggalkan Balasan

Alamat email Anda tidak akan dipublikasikan. Ruas yang wajib ditandai *